YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim
Dato’ Menteri Besar Selangor
YAB Tan Sri,
MENGHENTIKAN PENGHANTARAN MAHASISWA IPT-IPT MILIK KERAJAAN NEGERI / ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI KE BTN
Kami merasakan sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Selangor menghentikan penghantaran mahasiswa institut-institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri mahupun anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens ke program-program anjuran Biro Tata Negara Jabatan Perdana Menteri.
Maklumbalas daripada mereka yang mengikuti program mengadu pengisian program sebahagiannya tiada kaitan dengan nilai-nilai kenegaraan mahupun penyebaran ilmu, sebaliknya merupakan program politik kepartian UMNO-Barisan Nasional dan perkauman semata-mata.
Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja. Kami yakin program-program ini bertentangan dengan matlamat asal penubuhan BTN malah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Mahasiswa yang merupakan aset masyarakat yang sepatutnya boleh berfikir tanpa dikongkong dan mempunyai daya kritis. Program BTN sebaliknya menyekat perkembangan ini dan merencatkan minda mereka.
Sebaliknya mahasiswa-mahasiswa sepatutnya didedahkan dengan lebih banyak program ilmu yang memberikan ruang pelbagai pandangan dibincang dan dibahas. Program-program ini boleh berbentuk forum mahupun pidato yang terbuka, bukannya dibuat secara senyap-senyap dan tertutup sebagaimana program BTN.
Sekian, terima kasih.
s.k. YB Dr. Halimah Ali
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor
